Pelakon yang menjadi tumpuan bulan ini, Aeril Zafrel menjelaskan bahawa isterinya, Wawa Zainal dengan bekas tunang bernama Rashid sudah lama putus.
"Wawa bukan tunangan orang. Ketika kami berkawan, pertunangannya dengan lelaki itu sudah lama putus. Mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan.
"Malah, saya sendiri mengenali lelaki itu dan pernah berhubung dengannya ketika baru-baru berkawan dengan Wawa. Pada saya, itu perkara lama dan tak perlu dijadikan isu," ujarnya kepadaHarian Metro.
Menurut Aeril, perkara tersebut sengaja dibangkitkan dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengeruhkan lagi kontroversi yang melanda dirinya.
"Kami sudah berkahwin sekarang. Bagilah kami ruang untuk kecapi kebahagiaan pula."
Dalam pada itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 25, telah menyerahkan isu kontrak isterinya dengan MIG kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
"Saya berjumpa SENIMAN bagi mendapatkan bantuan mereka untuk meredakan keadaan. Saya dan Wawa ambil pendekatan merujuk perakra ini kepada persatuan bagi menjernihkan semula situasi."
Sementara itu, Aeril berkata, buat masa ini dia enggan membuat sebarang kenyataan lanjut kerana bimbang mengundang salah faham.